Implikasi pengharaman UMNO UMNO_11

Apabila UMNO diharamkan oleh hakim Datuk Harun Hashim beberapa implikasi yang besar telah berlaku di Malaysia. UMNO 11 tidak berhasrat mengharamkan UMNO. Mungkin Dr. Mahathir Mohamad sendiri tidak menyangka parti UMNO akan diharamkan kerana beliau berdiam diri buat beberapa hari.

Dr. Mahathir Mohamad tidak senang semua masalah dalaman parti dibawa ke mahkamah. Masalah parti biarlah diselesaikan dan diputuskan oleh parti, bukan oleh orang luar iaitu para hakim. Sejak kes ini, tidak ada lagi masalah parti dibawa ke mahkamah dan perkara ini turut disokong oleh pelbagai pertubuhan dan parti pembangkang.

Akibatnya UMNO tidak lagi menjadi parti tunjang kepada parti pemerintah iaitu Barisan Nasional. Oleh yang demikian, Dr. Mahathir Mohamad telah menyerahkan tugas Pengerusi Barisan Nasional kepada Presiden MCA ketika itu, Ling Liong Sik. Dengan itu juga Dr. Mahathir Mohamad tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana parti teras telah diharamkan buat beberapa ketika. Berlaku kekosongan jawatan Perdana Menteri Malaysia buat beberapa hari sehinggalah UMNO Baru ditubuhkan. Menurut tafsiran Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri Malaysia ketika itu ialah Ling Liong Sik. Walau bagaimanapun, tidak berlaku perlantikan watikah secara rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong kepada Ling Liong Sik.

Perkataan 'Baru' telah dikaburkan dari Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ('Baru') kerana menurut tafsiran mahkamah, UMNO lama dan UMNO Baru adalah berbeza, bukan parti yang sama. Pengamal undang-undang memberi tafsiran berbeza-beza sama ada UMNO Baru sama dengan UMNO lama kerana Akta Pertubuhan tidak membenarkan perkara-perkara sebegini diputuskan oleh mahkamah.

Ramai pemimpin, ahli politik dan rakyat Malaysia berasa lega apabila UMNO telah ditubuhkan semula. UMNO 11 telah menjadi 'kambing hitam' untuk dipersalahkan. Campur tangan pihak eksekutif terhadap penghakiman dirasakan semakin ketara .

Semua aset UMNO lama telah dipindahkan kepada UMNO Baru. Antaranya ialah pejabat UMNO di setiap negeri, bahagian dan cawangan UMNO, Menara Dato Onn, syarikat perniagaan milik UMNO dan lain-lain. Walau bagaimanapun harta keseluruhan UMNO tidak dapat dikenalpasti .